Air Terjun Tanjung Batu langsung tak terjejas, kata Akmal

thumbnail

Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera di Segari, Beruas masih terpelihara dan langsung tidak terjejas kerana ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di dalam Hutan Simpan Segari Melintang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, gambar tular menunjukkan air terjun itu terjejas, sebenarnya berpunca daripada alur air bermusim yang muncul terutama ketika hujan lebat.

Katanya, alur air itu terbentuk hasil satu takungan air di kawasan setinggi 200m dalam kawasan diberi lesen di Kompartmen 16 (Blok E), Hutan Simpan Segari Melintang.

“Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera sebenarnya masih terpelihara, langsung tidak terjejas dan berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusahasil pengeluaran batu kuari, iaitu berjarak 1km dari tapak kuari tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati operator kuari melakukan pelanggaran syarat penilaian impak alam sekitar (EIA), termasuk tidak melantik pegawai alam sekitar (EO) bertauliah sehingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek, seterusnya memberi kesan kepada alur air.

Katanya, kawasan berkenaan mendapat lesen kecil untuk pengeluaran batu-batan (pengkuarian) pada 2014 serta kelulusan EIA pada 2 Okt 2017.

Selain itu, beliau berkata, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan diluluskan 25 Okt 2018 dan seterusnya Surat Kelulusan Skim Kuari (SKSK) pada 1 Feb 2019.

Akmal berkata, disebabkan terdapat pelanggaran syarat EIA, perintah larangan serta berhenti kerja dikeluarkan 20 Jan lalu dan pelesen diarah melakukan tindakan pembaikan serta pemulihan di alur air bermusim tersebut.

“Kerajaan negeri mengarahkan pihak terlibat melakukan kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula semalam dan dijangka selesai dalam dua minggu.”

Beliau menasihatkan orang ramai tidak bimbang jika melihat jentera bergerak di sekitar kuari itu kerana ia adalah kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang berjalan. – FMT

Sumber:https://perakinsights.com/2021/01/23/air-terjun-tanjung-batu-langsung-tak-terjejas-kata-akmal/