Kejatuhan RM buat pelancong berpusu-pusu datang Malaysia - Saarani

thumbnail

Batu Gajah: Penyusutan nilai mata wang Ringgit pada masa ini boleh dilihat secara positif dalam merancakkan sektor pelancongan negeri ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, keadaan itu tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong bersempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) memandangkan ia akan lebih membuatkan pelancong luar berpusu-pusu ke Malaysia untuk berbelanja.

"Situasi kejatuhan Ringgit akan membuatkan ramai orang akan datang. Dahulunya ramai orang pergi ke Indonesia dan Thailand sebab duit (mata wang) orang sana lebih rendah daripada duit kita, membuatkan harga barang lebih murah.

"Jadi ia akan menarik perhatian orang untuk datang ke mari. Saya percayai di Johor pun ramai orang dari Singapura yang berkunjung ke negeri itu untuk membeli barang sebab lebih murah di Johor. Jadi kena berfikiran positif tentang itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh yang terletak bersebelahan ikon Warisan Kapal Korek TT5 Tanjung Tualang, di sini hari ini.

Saarani dalam pada itu mengakui Malaysia memerlukan nilai mata wang yang kukuh bagi pengukuhan ekonomi terutama untuk perdagangan antara negara serta berkaitan import eksport.

"Bukanlah saya minta duit jatuh, tetapi orang akan lebih berpusu-pusu datang ke Malaysia dan berbelanja kerana perbelanjaan lebih murah daripada negara lain. Untuk tujuan pelancongan, ia lebih baik," katanya.

Dalam pada itu Saarani menolak andaian sebilangan pihak yang menganggap sambutan TMP 2024 suram berbanding dengan negeri lain yang turut menjayakan tahun melawat negeri pada tahun ini seperti Melaka dan Perlis.

Beliau berkata, pihaknya yakin kempen sambutan TMP 2024 akan lebih rancak selepas perayaan Aidilfitri pada April ini.

"Saya minta maaflah sebab seperti Melaka, negeri itu agak kecil, yang menjadikan dia punya 'banner' (promosi) itu nampak banyaklah, berbanding dengan kita memandangkan negeri kita (Perak) besar (keluasan).

"Tapi saya yakin kita tidak kurang daripada apa yang ada di Melaka. Kita sudah mulakannya dan kita pun belajar daripada dua bulan pertama ini, melihat kepada perkembangan, dan saya percaya selepas Aidilfitri ini insya-Allah ia akan menjadi lebih rancak," katanya.