Kementerian Pengangkutan anggar GDV RM5 bilion untuk Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh

Sultan Perak & ETS2

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata projek pembangunan yang akan dilakukan secara berfasa itu mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk direalisasikan sepenuhnya.

Beliau berkata pelaksanaan pembangunan bersepadu yang dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian Persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) itu akan menjadikan Ipoh sebagai hub pengangkutan selain pembangunan bercampur yang akan dibangunkan di kawasan stesen keretapi ini.

“Selain pengangkutan, ia akan melibatkan pembangunan yang berunsurkan komersil dan perumahan terutamanya perumahan mampu milik.

“Tiga bulan selepas kita memeterai perjanjian ini, kita telah dapat merasmikan projek ini pada hari ini. Sudah semestinya kita mahu ia dipercepatkan,” katanya selepas hadir majlis pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dan pembangunan bersepadu itu di Stesen Keretapi Ipoh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi merealisasikan pembangunan bersepadu itu, ia memerlukan kerjasama daripada pihak kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk meluluskan secara terancang dan seterusnya memastikan projek tersebut dibangunkan dengan segera.

“Apa yang penting kita mahu stesen ini dibangunkan dan menjadi pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Ditanya sekiranya pelan pembangunan ini akan diperkembangkan ke negeri lain, Loke berkata kesemua laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM) itu berpotensi.

“Kita akan lihat kerana semuanya berpotensi dari Johor Bahru sehingga ke negeri Perlis. Manakala di Pantai Timur pula melibatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata pelan pembangunan ini melibatkan kawasan seluas 27.5 hektar bagi mewujudkan sebuah daerah di mana pembangunan dirancang berorientasikan transit yang terletak di sekitar stesen dan jajaran keretapi di Ipoh yang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek pembangunan ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya berkata perjanjian antara MB Inc dan Kementerian Pengangkutan menerusi RAC ini amat bermakna kepada Perak kerana ia merintis jalan, membuka kunci yang amat penting dalam merealisasikan potensi besar Stesen Keretapi Ipoh sebagai hub pembangunan bercampur bernilai tinggi, yang tertangguh selama lebih 15 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa unit Rumah Perakku bakal dibangunkan kawasan sekitar stesen keretapi Ipoh selain pangsapuri kos sederhana dan mewah bagi mewujudkan pilihan pemilikan kediaman kepada rakyat.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menzahirkan sasaran membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun di antara tahun 2018 hingga tahun 2023,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan pelancaran ETS2 dan pembangunan bersepadu berkenaan.
 

Sumber :http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1777327