MB Inc. tanam 75,000 pokok pelbagai spesies

thumbnail

IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) berjaya menanam 75,000 pokok merangkumi pelbagai spesies di beberapa lokasi di seluruh negeri sejak November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, jumlah tersebut melebihi sasaran asal penanaman pokok iaitu sebanyak 45,000 pokok sebelum 31 Januari lalu.

Katanya, penanaman pokok melalui program Kekal Hijau itu merupakan usaha kolektif daripada 50 agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi (IPT), masjid dan kampung Orang Asli.

“Pada mulanya, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memberi tanggungjawab kepada Mb Inc. untuk menanam 45,000 pokok sebelum 31 Januari lalu.

“Bagaimanapun, atas usaha dan kerjasama baik semua pihak untuk sama-sama melestarikan alam sekitar, kita akhirnya berjaya menanam 75,000 pokok iaitu 67 peratus melebihi sasaran asal,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MB Inc. di Perak Techno Trade Center (PTTC) di sini hari ini.

Menurut beliau, antara spesies pokok yang ditanam dalam kempen tersebut ialah pokok-pokok nadir, rehabilitasi, keselamatan dan pemuliharaan seperti bakau, berembang dan ketapang yang berperanan mengelakkan hakisan di sungai.

Katanya, bagi memastikan pokok yang ditanam berada dalam keadaan baik, pihaknya juga melaksanakan audit dengan kerjasama pakar.

“Kita telah pun menjalankan audit dalaman bersama jawatankuasa taskforce penanaman pokok untuk memantau perkembangan pokok-pokok agar berada dalam keadaan baik.

“Selain dibantu pakar yang bertauliah, NGO juga bersama-sama turun padang untuk memantau pokok-pokok yang ditanam dalam kempen itu,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kempen penanaman pokok bukan sahaja dapat menjamin kelestarian alam sekitar, malah memberi sumber pendapatan kepada penduduk Orang Asli.

“Menerusi kempen sama, kita telah menanam 9,620 pokok kopi di Kampung Air Bah, Kampung Bukit Asu dan Kampung Kerawat. 

“Selain, diberi pendedahan dan latihan tanaman serta cara penjagaan pokok oleh pakar, mereka juga diberi penerangan mengenai faedah yang boleh diperolehi melalui penanaman pokok kopi di kawasan perkampungan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Sumber:https://www.utusan.com.my/berita/2021/09/mb-inc-tanam-75000-pokok-pelbagai-spesies/