Tiga tarikan baru di Kapal Korek TT5 bakal beroperasi tahun ini

thumbnail

BATU GAJAH: Tiga projek pembangunan sektor pelancongan di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) bakal menjadikan tarikan baru para pelancong ke negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, pembinaan Maze Garden@TT5, Galeri Dato Lat dan Silver Lake Brands Village dijangka siap pertengahan tahun ini iaitu bulan Mei.

Menurutnya, ia bakal memainkan peranan yang penting dalam kluster eko-pelancongan di negeri ini dan sudah pasti memberi lebih tarikan kepada pelancong di seluruh dunia untuk datang ke tapak kapal korek yang berusia 82 tahun yang merupakan warisan negara.

“Pembunaan tiga projek ini akan menjadi satu lagi tarikan baru pelancong ke negeri ini.

“Projek ini juga akan membawa manfaat kepada masyarakat setempat khususnya di daerah Batu Gajah khususnya dari sudut sosio ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Program simulasi menyelamat air bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5), disini semalam.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Anuar Zainal Abidin.

Dalam perkembangan berkaitan, Adun Simpang Pulai itu berkata, kerajaan negeri sangat memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di semua tempat pelancongan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama erat dengan agensi berkaitan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam meningkatkan keselamatan di semua tempat pelancongan.

“Kerajaan negeri sangat menekankan aspek keselamatan di semua tempat rekreasi dan tarikan pelancong terutamanya di tempat-tempat seperti kolam air, pantai, gua, gunung, dan kolam air panas.

“Kerajaan negeri dan pihak bomba dalam usaha untuk mempertingkatkan segala aspek keselamatan contohnya memberi kelas menyelamat di dalam air secara teori dan kelas simulasi secara praktikal kepada kakitangan pusat rekreasi seperti di TT5 ini,” katanya.

Kar Hing turut mengucapkan jutaan tahniah kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak kerana telah menubuhkan pasukan Cave Rescue Team yang pertama di Malaysia terdiri daripada 35 anggota terlatih.

 

Sumber : https://perakinsights.com/2020/02/19/tiga-tarikan-baru-di-kapal-korek-tt5-bakal-beroperasi-tahun-ini/