Bertempat di My Gopeng Resort, satu program orientasi telah diadakan khususnya kepada warga kerja baharu Menteri Besar Incorporated (Perak) kemasukan pada bulan Ogos 2023.
Program yang disertai 13 warga kerja baharu ini bertujuan untuk membantu mereka mengenali keseluruhan struktur organisasi MB Inc. dengan lebih terperinci merangkumi latar belakang syarikat, visi dan misi syarikat, objektif syarikat serta peranan dan tanggungjawab mereka sebagai seorang warga kerja MB Inc. yang cemerlang.
Program sepanjang dua hari satu malam yang bermula dari 19 Februari 2024 sehingga 20 Februari 2024 itu telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berpasukan seperti permainan dalaman (indoor games) yang menguji minda dan kreativiti mereka, serta aktiviti lasak iaitu water rafting yang mencabar kemampuan, komitmen dan gerak kerja secara berkumpulan sekali gus dapat membantu mereka dalam menghadapi cabaran semasa bekerja.
Majlis penutup program orientasi tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc., Encik Rizam Abd Rani.
Pihak MB Inc. menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga kerja baharu yang telah berjaya menjayakan program orientasi tersebut dengan baik dan semoga dapat membawa pulang nilai-nilai yang telah diterapkan sepanjang program diadakan sekali gus dapat mempraktikkan cara kerja yang lebih komited dan telus.