Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG), telah menerima lawatan teknikal daripada peserta kursus Safety, Security & Safeguard (3S) dan kursus ASEAN Nuclear Leaders for Energy Transition (ANLET), hari ini.
Lawatan ini telah dijalankan di Tapak Repositori Mukim Belanja dengan objektif untuk mendedahkan peserta kepada persekitaran sebenar pengendalian aktiviti sinaran mengion serta amalan budaya kerja selamat dalam pengurusan sisa radioaktif di tapak yang dikawal selia oleh MB Inc. Perak.
Lawatan dimulakan dengan taklimat keselamatan dan perkongsian latar belakang sejarah tapak oleh Pegawai Perlindungan Sinaran MB Inc. Perak, Puan Nur Ain Abd Razak. Turut hadir ialah Dr. Rubina Waseem dan Cik Helen Mariam Tony yang masing-masing mewakili negara Pakistan dan India.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus ANLET yang mewajibkan peserta melakukan lawatan ke agensi, organisasi atau industri yang menjalankan aktiviti sinaran mengion. Kursus ANLET ini dijadualkan untuk dilaksanakan pada Ogos 2025.
Ke hadapan, MB Inc. Perak berkomitmen untuk terus mengembangkan lebih banyak inisiatif kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi nuklear, sambil terus menjadi rujukan terbaik bagi amalan keselamatan sinaran yang mampan di rantau Asia Tenggara.