Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja strategik daripada delegasi Khazanah Nasional Berhad ke tapak Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, baru-baru ini.
Lawatan ke tapak Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering menjadi tumpuan utama dengan tujuan memberi pendedahan menyeluruh terhadap operasi perlombongan NR-REE pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi inovatif in-situ leaching (ISL). Kaedah ini bukan sahaja lebih mesra alam berbanding teknik perlombongan konvensional, malah telah memenuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Lawatan seterusnya ke TML, sebuah makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia yang memainkan peranan strategik dalam ekosistem industri ini. TML bukan sekadar menyediakan perkhidmatan analisis mineral berkualiti tinggi, malah beroperasi sebagai pusat pangkalan data dan penanda aras rujukan negeri yang kritikal bagi pembangunan industri jangka panjang.
Hadir sama ialah Ketua Pendigitalan dan Ketua Transformasi Khazanah Nasional, Dr. Mohamed Farid Sani; Ketua Penyelidik dan Ketua Bersama Pasaran Swasta Khazanah Nasional, Encik Nicholas Khaw Hock-Lu; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin; serta wakil-wakil pengurusan kanan daripada MB Inc. Perak dan Khazanah Nasional.
Lawatan ini diharapkan dapat mencapai objektif utama dalam memberikan pemahaman menyeluruh kepada delegasi Khazanah Nasional, di samping meneroka peluang kerjasama strategik antara MB Inc. Perak dan Khazanah Nasional bagi membangunkan industri NR-REE yang berpotensi tinggi di negeri Perak.