Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG), berkomitmen teguh dalam menjamin keselamatan awam melalui pelaksanaan pemantauan radiologi dan alam sekitar yang komprehensif di Tapak Repositori Mukim Belanja.
Pemantauan yang dilaksanakan secara sistematik dan berkesinambungan ini dikendalikan oleh pihak yang berkelayakan dalam bidang keselamatan sinaran dengan objektif utama memelihara kesejahteraan masyarakat serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Skop pemantauan menyeluruh ini merangkumi pengambilan dan analisis sampel air sungai, air bawah tanah, tanah, sedimen, flora serta kualiti udara termasuk gas radon dan toron dalam radius yang telah ditetapkan.
Hasil bacaan dan analisis sepanjang tempoh pemantauan yang dijalankan secara konsisten membuktikan bahawa paras sinaran radioaktif kekal dalam keadaan terkawal sepenuhnya dan berada di bawah had kawalan yang ditetapkan.
Sebagai pemegang Lesen Kelas A, C dan H di bawah pematuhan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), MB Inc. Perak sentiasa memastikan pengurusan yang bertanggungjawab terhadap pemilikan bahan radioaktif, pengendalian radas penyinaran serta pelaksanaan pemantauan radiologi dan alam sekitar yang berkesan.
MB Inc. Perak akan terus mempertingkatkan sistem pemantauan dan mengukuhkan keselamatan sinaran demi menjamin kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan tapak repositori ini. Usaha berterusan ini sekaligus menjamin warisan keselamatan yang terjamin untuk generasi akan datang.