DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli merasmikan Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang, baru-baru ini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Menara Air Perak ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan transformatif yang merangkumi pejabat pentadbiran moden, pusat kawalan canggih, dewan bankuet, surau, pusat jagaan kanak-kanak dan gimnasium bagi kesejahteraan pekerja.
Penubuhan Lembaga Air Perak (LAP) pada 1 Januari 1990 menandakan revolusi baharu dalam sejarah pengurusan air negeri. Transformasi daripada sebuah jabatan kerajaan kepada badan berkanun yang dinamik, berdaya saing dan berorientasikan prestasi telah mengubah landskap perkhidmatan air di Perak.
Pemindahan Ibu Pejabat LAP daripada Jalan St. John ke Menara Air Perak pada Mac 2023 melambangkan kesempurnaan perjalanan transformasi yang berlangsung selama tiga dekad. Pencapaian ini sekaligus meningkatkan imej dan kredibiliti LAP sebagai penyedia perkhidmatan air terdepan di negeri ini.
Menteri Besar Incorporated (Perak) merakamkan ucapan tahniah setinggi-tingginya kepada LAP. Semoga LAP dapat terus berkomitmen menyalurkan bekalan air bersih berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat, malah turut menggerakkan momentum pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf kesejahteraan sosial masyarakat Perak.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak