Menteri Besar Incorporated Perak menerima lawatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) di Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5), mencatatkan satu lagi pencapaian cemerlang dalam memperkukuh hubungan dua hala maritim serantau, hari ini.
Lawatan sempena Eksesais Tentera Laut 2025 ini menjadi wadah strategik pemantapan hubungan diplomatik dan ketenteraan antara kedua-dua negara, sekaligus mengukuhkan komitmen bersama dalam memacu kerjasama maritim rantau yang progresif dan dinamik.
Lawatan ini turut membuka dimensi kerjasama strategik antara MB Inc. Perak dan TLDM dalam merancang pembangunan Muzium Kapal Diraja Hang Tuah (KDHT) sebagai ikon pelancongan warisan maritim di Lumut, yang mana inisiatif transformatif ini bakal mengangkat Perak sebagai destinasi pelancongan maritim di rantau ini.
Hadir sama, Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor; Panglima Armada TLRS, Rear Admiral Kwan Hon Chuong; serta Encik Wan Mohd Kamarulhisham bin Wan Jusoh selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Inisiatif progresif ini mencerminkan komitmen teguh MB Inc. Perak dalam membangunkan ekosistem pelancongan yang kompetitif, berkelanjutan dan berdaya tahan tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.
Menerusi pendekatan kolaboratif strategik antara sektor korporat dan institusi ketenteraan negara, MB Inc. Perak berhasrat terus menerajui agenda transformasi ekonomi holistik dengan memanfaatkan sepenuhnya aset strategik dan kerjasama multi-sektor bagi merealisasikan pertumbuhan ekonomi negeri yang inklusif dan mampan.