Menteri Besar Incorporated (Perak) telah memberikan pengiktirafan tinggi terhadap pencapaian cemerlang SMK Kg. Pasir Puteh dengan merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid 2025, baru-baru ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Encik Rizam Abd Rani yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, sekaligus membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan modal insan melalui aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah.
Majlis apresiasi ini diadakan khusus bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan murid-murid, guru-guru, serta para jurulatih berdedikasi SMK Kg. Pasir Puteh yang telah berjaya mengangkat martabat dan mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai bidang kokurikulum dan kepimpinan murid.
Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada mereka yang cemerlang, malah turut menyuntik motivasi kepada generasi akan datang untuk terus gigih mencapai kecemerlangan.
Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada seluruh warga SMK Kg. Pasir Puteh khususnya, dan komuniti pendidikan negeri Perak amnya, untuk terus memperkasa aktiviti kokurikulum serta melahirkan pemimpin masa depan yang holistik dan berwibawa.