Menteri Besar Incorporated (Perak) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di atas kejayaan memenangi Anugerah Inovasi Menteri Besar bagi tahun 2023.
Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang dinamakan Kumpulan EUREKA ini mengenengahkan projek inovasi teknologi, Lestari Bumi Hijau melalui kitar semula sisa kapur karbida bagi penghasilan kalsium karbonat termendak atau precipitated calcium carbonate (PCC) sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial.
Selain itu, turut menarik perhatian ialah hasil inovasi Pasukan Digitify mewakili Digital Perak Corporation Holdings telah berjaya merangkul Johan Pertandingan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Bidang Sosial menerusi Inovasi Projek Latihan Industri Negeri Perak (e-Internship) yang diwujudkan bagi melancarkan proses pengambilan pelatih industri di jabatan dan agensi kerajaan Negeri Perak.
Penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim, serta Barisan Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Penganjuran Sambutan Harian Inovasi bertemakan Semarak Inovasi, Menggarap Infiniti itu telah menerima sebanyak 147 penyertaaan dan 8 Anugerah Inovasi turut dipertandingkan iaitu Anugerah Inovasi (AI) Terbuka, AI Lestari Bumi Hijau, AI Pejabat Daerah dan Tanah, AI Pihak Berkuasa Tempatan, AI Institut Pengajian Tinggi, AI Akar Umbi, AI Sekolah Menengah dan AI Sekolah Rendah.
Semoga hasil inovasi daripada semua pihak dapat menjadi agen transformasi kepada hala tuju negara dan memperkasa inovasi sebagai pengubah masa hadapan, sekali gus lonjakan dan anjakan paradigma hasil inovasi ini juga secara langsung dapat meningkatkan kemajuan negeri Perak khususnya.
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua pemenang !