DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023 di Dataran Warisan, Taiping.
Turut berkenan berangkat menyertai larian adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Berangkat sama, adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang berkenan menyempurnakan pelepasan bagi kategori tetamu kehormat (VVIP) yang membabitkan jarak 3 kilometer (km) diiringi tetamu kehormat yang lain.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki Mahyudin; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri; Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (Perak), Encik Anuar Zainal Abidin serta 200 orang tetamu kehormat lain.
Acara larian yang dianjurkan sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang disambut pada 3 November lepas, menerima penyertaan lebih 9,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sekitar jam 7.00 pagi, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan pelepasan peserta larian kategori 15 km yang disertai oleh 4,240 orang peserta dan 4,179 orang peserta larian bagi 10 km pada jam kira-kira 7.10 pagi.
Setelah 10 tahun acara ini diadakan di daerah Kuala Kangsar, buat pertama kalinya, Taiping dipilih sempena sambutan ulang tahun ke-150 sebagai Bandar Warisan tahun 2024. Tujuan larian kali ini adalah sebagai promosi awal kepada program yang bakal berlangsung di Perak sepanjang tahun hadapan.
Pada acara yang sama, turut berlangsung pelbagai pameran dan persembahan yang diadakan sepanjang trek larian di Padang Esplanade, Taman Tasik Taiping, dan di sekitar Taiping; antaranya ialah pameran ketenteraan, ikhtiar hidup pertempuran, demonstrasi tempur tanpa senjata, pameran di Muzium serta Penjara Taiping, pertunjukan terjunan bebas, dan tarian kebudayaan kaum.
Semoga acara larian ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam memupuk penjagaan kesihatan fizikal dan keharmonian di kalangan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Junjung DYMM Paduka Seri Sultan Perak mencemar duli mendekati rakyat.