Menteri Besar Incorporated (Perak) turut bersama-sama komited untuk memakmurkan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dengan menyumbang sebanyak RM 700,000 bagi program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
Dalam majlis itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin turut menyerahkan mock-cheque kepada YAB Menteri Besar sebagai simbolik penyerahan sumbangan tersebut.
Kerajaan Negeri mengumumkan dana sebanyak RM2.67 juta bagi meneruskan program bantuan makanan percuma kepada para calon peperiksaan utama pada tahun ini di bawah program TCS yang akan memberi manfaat kepada 26,628 calon dari 238 buah sekolah seluruh negeri Perak.
Melalui inisiatif ini, kesemua calon peperiksaan SPM, STPM, STAM & SVM akan diberikan bantuan makan tengah hari iaitu ketika menghadiri kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula dari cuti penggal ketiga sesi 2023/2024 sehinggalah ke hari peperiksaan yang akan berakhir pada Mac 2024.
Semoga usaha murni ini juga secara langsung mendorong para pelajar untuk hadir ke kelas tambahan dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa khususnya daripada keluarga B40.
Ini sekaligus meningkatkan tahap pencapaian pelajar-pelajar di dalam peperiksaan tersebut di negeri Perak.
MB Inc. juga berharap inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Perak.