Sekitar Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak siri yang pertama bagi tahun 2024 telah berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
Program ini adalah komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat dalam mendengar dan menyelesaikan sebarang permasalahan serta menerima pandangan baharu dalam usaha memperkasakan pembangunan di negeri Perak.
Untuk makluman, sepanjang tempoh penganjuran Hari Bertemu Pelanggan yang telah diadakan sejak tahun 2022, sebanyak 2,356 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu 2,280 aduan atau 97% peratus aduan telah berjaya diselesaikan sebaiknya.
Hadir pada program tersebut ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; diiringi bersama barisan Ahli Ex-Officio Negeri Perak; barisan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Perak; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin.
Selain itu, terdapat juga pelbagai kaunter dan reruai agensi-agensi Kerajaan Negeri yang turut memeriahkan lagi program ini dan dijadikan tumpuan rakyat yang hadir bagi mendapatkan maklumat dan info terkini dengan mudah.
Semoga usaha murni ini dapat mengekalkan hubungan keakraban di antara rakyat dan Kerajaan Negeri selain melimpahkan banyak manfaat dalam menjaga kesejahteraan seluruh rakyat di negeri Perak.