Kerajaan Negeri Perak melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) telah menganjurkan State Leadership Retreat 2024 yang menjadi platform dalam menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 di negeri Perak.
State Leadership Retreat 2024 pada kali ini memfokuskan kepada pemerkasaan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 serta meneroka potensi ekonomi baharu seperti mana yang telah disebut oleh YAB Menteri Besar Perak dalam Majlis Executive Talk YAB Menteri Besar Tahun 2024 lalu.
Dalam pada itu, turut dibentangkan Pembentukan Pelan Tindakan yang menjadi perbincangan utama untuk mengukur pencapaian projek dan program melalui strategi yang ditetapkan bagi mencapai sasaran Sejahtera Sosial, Sejahtera Ekonomi dan Sejahtera Politik yang secara makro pencapaian Perak Sejahtera 2030 akan diukur melalui Indeks Kesejahteraan Perak (IKP).
Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Puan Haliza binti Sipun; serta barisan Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan.
Menteri Besar Incorporated (Perak) turut hadir sama dalam State Leadership Retreat 2024 yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Anuar Zainal Abidin. MB Inc. merupakan agensi kerajaan Negeri yang memainkan peranan terhadap industri mineral dalam agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Untuk makluman, State Leadership Retreat 2024 ini merupakan penganjuran kali ketiga selepas ia telah diadakan di Perak pada tahun 2022 dan Sarawak pada tahun 2023 lalu yang menghimpunkan semua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan untuk bersama-sama menjana idea dan pandangan.
Semoga penganjuran State Leadership Retreat 2024 ini mampu menggarap segala input dan idea yang bernas dalam meneroka potensi negeri Perak, sekaligus dapat mencapai resolusi ideal dalam menggerakkan Perak Sejahtera 2030 secara holistik.