DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan berangkat merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan “Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqah Dengan Tasawuf” di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, hari ini.
Keberangkatan DYMM Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; Mufti Perak, YBhg. Dato’ Seri Wan Zahidi bin Wan Teh; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta barisan Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dalam titah Baginda, DYMM Tuanku menekankan kepentingan adab yang terbit daripada penghayatan ilmu tasawuf sebagai asas utama dalam menuntut ilmu. Baginda menegaskan bahawa elemen ini adalah asas dalam usaha membetulkan kepincangan masyarakat dan menangani penyakit sosial yang kian melanda dunia kontemporari hari ini.
DYMM Tuanku turut menekankan hakikat bahawa amat kritikal bagi kedua-dua cabang ilmu - fiqh yang menyediakan komponen perundangan Islam yang komprehensif, dan tasawuf yang membentuk jiwa dan rohani manusia untuk diintegrasikan secara harmoni.
Dalam majlis sama, DYMM Tuanku telah berkenan melancarkan dua karya ilmiah bertajuk “Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah” dan “Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah”.
Muzakarah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan ilmu Islam serta menggalakkan dialog intelektual dalam kalangan para ulama, sarjana dan cendekiawan Islam tempatan dan antarabangsa.