Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), YBhg. Dato' Gan Tack Kong dalam satu pertemuan strategik di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin, turut hadir menyambut pertemuan yang bertujuan memperkukuhkan hubungan korporat serta meneroka peluang kolaborasi berimpak tinggi antara kedua-dua pihak.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pemerkasaan tenaga kerja berkeupayaan tinggi menerusi inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Inisiatif ini dilihat kritikal dalam menarik pelaburan bernilai tinggi serta memastikan kelestarian pertumbuhan industri di Perak.
Perbincangan turut merangkumi peluang kerjasama dalam sektor perlombongan dan industri mineral yang merupakan teras perniagaan MB Inc. Perak. Kerjasama ini berpotensi memaksimumkan nilai ekonomi sambil memelihara kelestarian alam sekitar secara berkesan.
Melalui pertemuan strategik ini, MB Inc. Perak dan FMM berhasrat menjalin kerjasama yang akan memperkasa ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak menerusi pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya saing.