Kemeriahan Syawal terus bergema melalui penganjuran Majlis Riang Ria Aidilfitri 2025 GLC Negeri Perak bersama YAB Menteri Besar Perak yang berlangsung dengan penuh jayanya di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin bukan sahaja menyerikan majlis, malah mencerminkan sokongan padu, keprihatinan mendalam serta penghargaan tulus ikhlas terhadap komitmen dan sumbangan setiap GLC dalam memacu agenda pembangunan negeri.
Turut memeriahkan majlis ialah YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, serta Ketua-Ketua Jabatan GLC Negeri.
Kehadiran warga kerja daripada pelbagai GLC negeri Perak bersama keluarga masing-masing bukan sahaja menyerikan suasana, malah menyemarakkan semangat muhibah dan nilai kekeluargaan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri kali ini, sekaligus mewujudkan medan untuk mengukuhkan jalinan silaturahim dan mempererat hubungan sesama warga kerja.
Dalam suasana yang diselubungi kemesraan dan kasih sayang, YAB Menteri Besar Perak meluangkan masa berharga untuk menyampaikan cenderahati penghargaan kepada setiap Ketua Jabatan GLC negeri Perak serta menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Majlis yang dianjurkan ini bukan sekadar sambutan, tetapi melambangkan keutuhan ikatan, semangat permuafakatan, serta iltizam berterusan seluruh warga GLC negeri Perak dalam menggerakkan usaha membangunkan negeri secara holistik, lestari, dan inklusif demi kemakmuran bersama.