Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja daripada Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI), hari ini.
Lawatan strategik yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, merupakan sebahagian daripada aturcara rasmi sempena Mesyuarat MEXCO-STI Bilangan 1 Tahun 2025.
MEXCO-STI merupakan platform kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri ini bertujuan mengarusperdana dan memperkasa pembangunan STI selaras dengan perancangan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Encik Teh Kok Lim; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Perlis, YB Encik Mohd Ridzuan Hashim; Wakil Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan Ketua dan Pengarah Jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri Perak.
Sepanjang lawatan, para delegasi berpeluang menyaksikan kemajuan teknologi makmal dan inovasi analisis mineral. Mereka turut diberi taklimat komprehensif mengenai kepakaran TML dalam menyediakan perkhidmatan analisis mineral bertaraf tinggi, termasuk analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Penganjuran lawatan ini bukan sahaja memperkukuh sinergi antara pihak kerajaan dan sektor industri, malah memperteguh komitmen bersama dalam memperkasa ekosistem sains dan teknologi negara.
TML tetap komited untuk menerajui kecemerlangan makmal analisis mineral di Malaysia melalui inovasi berterusan, amalan terbaik industri dan pematuhan standard antarabangsa, seiring dengan usaha menyokong agenda pembangunan ekonomi berasaskan sumber secara lestari.