Seusai sesi lawatan kerja ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), delegasi Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) meneruskan agenda dengan mengadakan Mesyuarat MEXCO-STI Bilangan 1 Tahun 2025 di Bilik Gerakan Negeri, SUK Perak.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Encik Chang Li Kang; dengan kejadiran Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Encik Teh Kok Lim; dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Perlis, YB Encik Mohd Ridzuan bin Hashim.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, YBrs. Puan Haliza binti Sipun; Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian; Wakil Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan Ketua dan Pengarah Jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri Perak.
Mesyuarat produktif ini berjaya menggariskan strategi komprehensif bagi mewujudkan sinergi mantap antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri dalam usaha mengarusperdanakan agenda pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara holistik dan bersepadu.
Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Incorporated (Perak) telah membentangkan kertas makluman berkenaan penubuhan TML, sebuah makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) komersial pertama di Malaysia yang berupaya menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan elemen mineral NR-REE serta mineral lain yang terdapat di negeri Perak.
Agenda mesyuarat merangkumi pembentangan kertas-kertas pertimbangan dan makluman menyeluruh daripada wakil kedua-dua peringkat kerajaan. Pembentangan tersebut memfokuskan penyelarasan inisiatif sedia ada dan pencapaian konsensus dalam membentuk perkongsian pintar yang strategik dan berdaya saing di peringkat nasional.
Secara keseluruhannya, mesyuarat pemangkin ini memperlihatkan komitmen jitu kerajaan dalam memastikan penggemblengaan sumber dan kepakaran berjalan secara bersepadu dan berkesinambungan, seterusnya memacu kemajuan teknologi dan inovasi di semua peringkat pentadbiran demi merealisasikan aspirasi pembangunan mampan negara.