Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat delegasi Khazanah Nasional Berhad di Ibu Pejabat MB Inc. Perak. Kunjungan ini bertujuan meneroka rangkaian kerjasama strategik dalam memacu pembangunan industri mineral di negeri Perak.
Pertemuan strategik tersebut berjaya menggariskan beberapa kerangka sokongan komprehensif antara kedua-dua pihak bagi memperkasakan ekosistem mineral di Perak, sejajar dengan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Delegasi Khazanah diketuai oleh Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Digitalisasi dan Transformasi, Dr. Farid Mohamed Sani, dan disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin bersama barisan kepimpinan MB Inc. Perak.
Sesi perkongsian maklumat yang dijalankan memberi tumpuan khusus terhadap perkembangan terkini industri mineral. Perbincangan turut meneliti secara komprehensif prospek serta menangani cabaran semasa dalam sektor berimpak tinggi yang menjadi pemangkin utama ekonomi negeri Perak.
Komitmen jitu kedua-dua pihak terserlah menerusi kesediaan meneroka peluang sinergi strategik dalam memperkasakan industri bernilai ini, sekaligus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi mapan dan peningkatan kesejahteraan rakyat Perak secara holistik.