Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Unit Pematuhan telah menganjurkan Majlis Perakuan dan Angkat Sumpah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) bagi warga kerjanya yang berlangsung di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, hari ini.
Majlis ini berperanan sebagai pemangkin kepada pelaksanaan sistem keselamatan perlindungan yang lebih tersusun dan berkesan di MB Inc. Perak, selaras dengan kehendak Arahan Keselamatan yang telah ditetapkan.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan sesi Taklimat Keselamatan Dokumen yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Negeri Perak, Encik Mazlan Md Noor. Beliau memberi pendedahan kepada warga kerja mengenai garis panduan keselamatan perlindungan dan pendekatan terbaik dalam pengendalian dokumen rasmi.
Kemuncak majlis menyaksikan sesi lafaz ikrar dan angkat sumpah di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 oleh semua warga kerja MB Inc. Perak yang diketuai oleh Encik Rizam Abd Rani selaku wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak.
Selain itu, majlis ini turut menjadi medium penting untuk memperluas pemahaman warga kerja mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam memelihara kerahsiaan maklumat rasmi kerajaan.
Diharapkan majlis ini menjadi cerminan komitmen berterusan MB Inc. Perak dalam membudayakan persekitaran kerja yang selamat, profesional dan berintegriti, seiring dengan aspirasi untuk menerajui amalan tadbir urus korporat yang cemerlang dan bertanggungjawab.