YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, telah mengetuai delegasi negeri dalam satu lawatan kerja rasmi ke kilang pengasingan dan pemprosesan unsur nadir bumi (REE), Solvay La Rochelle, Perancis.
Lawatan strategik ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan industri REE di Perak, dengan matlamat utama membina keupayaan dan kapasiti pengurusan sendiri dalam industri ini, khususnya dalam bidang teknologi pengasingan.
Turut mengiringi ialah YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Puan Halizah binti Sipun; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak; Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta wakil-wakil pentadbiran Kerajaan Negeri.
Selain meneroka potensi pelaburan ke negeri Perak, lawatan penandaarasan ini bertujuan memberi peluang kepada delegasi negeri untuk meninjau teknologi terkini dalam pemprosesan REE yang berpotensi diaplikasikan di negeri Perak.
Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku peneraju industri mineral negeri kini giat meneroka jalinan strategik bersama negara-negara yang mempunyai keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas dalam pemprosesan REE secara bertanggungjawab.
Melalui lawatan penandaarasan ini, diharapkan syarikat-syarikat asing yang melabur di Perak akan menjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi kepada entiti tempatan, serta membuka ruang kerjasama strategik dalam industri REE yang mempunyai nilai dan potensi tinggi ini.