DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Daerah Larut, Matang dan Selama, baru-baru ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Kemudahan baharu ini merupakan hasil penggabungan strategik dua pejabat sedia ada yang kini beroperasi di bawah satu bumbung, dibina dengan seni bina korporat di atas tapak seluas 40,468 meter persegi. Ia merupakan sebahagian daripada rangkaian 20 pejabat JPN yang beroperasi di seluruh negeri Perak.
Bangunan yang dilengkapi infrastruktur komprehensif ini menawarkan kemudahan mesra pengguna yang menyeluruh, termasuk 93 lot parkir kereta, 25 lot parkir motosikal, ruang menunggu dengan kapasiti 132 tempat duduk, kemudahan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU), surau, serta sebuah dewan untuk mengendalikan upacara perkahwinan.
Pembangunan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi untuk mempertingkatkan kecekapan sistem pentadbiran negeri dan menyediakan pengalaman perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat.