YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah melancarkan dua dokumen strategik yang bakal mengubah landskap pembangunan negeri iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, hari ini.
Kedua-dua dokumen ini telah dirangka secara bersepadu dan holistik untuk melonjakkan Agenda Ekonomi Digital negeri ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus mentransformasikan landskap perbandaran Perak menjadi lebih berdaya huni, cekap operasi, dan mesra alam sekitar.
Hadir sama, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta barisan Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030 menampilkan pendekatan yang sistematik dan menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada empat teras fundamental merangkumi akses kepada infrastruktur digital berkualiti, pentadbiran awam cekap digital, ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan, dan masyarakat pendigitalan.
Selari dengan agenda ekonomi digital tersebut, Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 menggariskan roadmap yang terperinci dan berjangka panjang melalui 7 komponen strategik utama, 22 dasar komprehensif, 52 strategi pelaksanaan yang praktikal, dan 132 inisiatif konkrit yang akan dilaksanakan secara berfasa mengikut keutamaan dan kesesuaian semasa.
Kerajaan Negeri berkomitmen sepenuhnya untuk memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan strategik ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan bagi manfaat jangka panjang seluruh rakyat Perak, sekaligus memacu agenda transformasi digital yang komprehensif dan berwawasan masa depan.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak