Dalam misi mengukuhkan semangat kemasyarakatan dan mempererat silaturahim sesama warga kerja Menteri Besar Incorporated (Perak), Program Gotong-Royong Ibadah Korban dan MasterChef Aidiladha MB Inc. Perak 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Perkarangan Bangunan PTTC, Meru, hari ini.
Kedua-dua program yang dianjurkan oleh Kelab Warga Kerja MB Inc. (CRESTERS) ini menyaksikan penyertaan menggalakkan daripada warga kerja MB Inc. Perak merentasi pelbagai unit dan jabatan.
Program ini turut disantuni oleh kehadiran Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat MB Inc. Perak, Encik Rizam Abd Rani, Penolong Pengurus Besar Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P), Encik Anas Ady Yaacob, serta barisan pengurusan MB Inc. Perak.
Bermula pada pukul 10 pagi, program dibuka dengan aktiviti penyembelihan korban, diikuti proses pembersihan dan pembahagian daging kepada golongan yang memerlukan di sekitar Ipoh. Sumbangan daging korban turut diagihkan kepada warga kerja MB Inc. Perak serta agensi dan jabatan Kerajaan Negeri yang beroperasi di bangunan PTTC.
Sebagai pelengkap, Pertandingan MasterChef MB Inc. Aidiladha 2025 bertemakan “Sajian Kreatif, Penuh Barakah” turut diadakan antara warga kerja MB Inc. Perak. Keputusan pertandingan menyaksikan Yellow Sapphire merangkul tempat johan, diikuti Jade Alligator sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh Aquamarine Shark dan Red Jasper.
Program sebegini bukan sahaja membolehkan warga kerja menghayati makna mendalam ibadah korban, malah membuka ruang untuk mempererat hubungan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan, sekaligus dapat menyemarakkan nilai-nilai murni dan tanggungjawab sosial di kalangan warga kerjanya.