YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri telah memimpin Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2025 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.
Majlis yang penuh bermakna ini telah menyaksikan kehadiran lebih 20,000 rakyat Perak dari pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama yang bersatu padu meraikan detik bersejarah kemerdekaan negara.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Majlis yang dihiasi dengan pelbagai persembahan termasuk persembahan artis tempatan, pancaragam, tarian tradisional serta pertunjukan bunga api telah menjadikan sambutan kali ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi semua yang hadir.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar Perak turut melancarkan inisiatif baharu iaitu 'Perak Pages' yang dibangunkan oleh Tourism Perak sebagai persediaan strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sambutan Ambang Merdeka kali ini melambangkan komitmen bersama seluruh rakyat Perak untuk terus membangunkan negeri ini ke arah yang lebih gemilang dengan berpegang teguh kepada nilai-nilai luhur perpaduan, kemajuan dan kemakmuran yang mampan.