DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di perkarangan Dewan Bandaraya Ipoh.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Sambutan tahun ini dimulakan dengan kemasukan kawalan kehormatan utama yang diiringi oleh pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Seterusnya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Perarakan dan perbarisan pada tahun ini melibatkan 111 kontinjen yang merangkumi 5,891 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri Perak.
Dalam majlis yang sama, Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sambutan Hari Kebangsaan 2025 sebagai tanda penghargaan kepada semua peserta yang terlibat dalam menjayakan sambutan bersejarah ini.
Majlis ini telah menyaksikan kehadiran lebih 50,000 rakyat Perak dari pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama, termasuk pelancong asing yang bersatu padu meraikan detik bersejarah kemerdekaan negara tercinta.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak