YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri telah hadir memberikan sokongan padu serta menyaksikan Perlawanan Akhir Liga Premier Sepak Takraw (STL) 2025 Minggu Keenam: Grand Prix Penang.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan kebanggaan negeri, Perak Bison terpaksa mengalah kepada Melaka Titans pada perlawanan akhir Grand Prix Penang. Namun begitu, Perak Bison tetap berjaya merangkul gelaran Naib Juara untuk siri berkenaan.
Walaupun tewas dalam perlawanan akhir tersebut, Perak Bison sekaligus telah berjaya mengekalkan kedudukan teratas liga dan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Liga Premier STL 2025. Pencapaian ini merupakan kejuaraan ketiga Perak Bison selepas kejayaan terdahulu pada musim 2019 dan 2023.
Turut hadir dalam perlawanan akhir ini ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Khairudin bin Abu Hanipah; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Penghargaan setinggi-tingginya dipersembahkan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), YBhg. Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan, berserta seluruh barisan kepimpinan dan pegawai yang telah menjadi tulang belakang kejayaan Perak Bison sepanjang musim.
Kejuaraan bersejarah ini diharapkan dapat terus mengangkat martabat sukan sepak takraw Perak ke mercu kecemerlangan yang baharu, sekaligus menjadi landasan kukuh bagi pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan untuk negeri Perak.