Menteri Besar Incorporated (Perak) terus berkomitmen memperkasakan sektor pendidikan negeri dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM750,000 untuk Bantuan Makanan Percuma di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).
Majlis penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad yang menyaksikan penyampaian replika cek daripada Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak kepada Pengurus Besar Yayasan Perak.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Khairudin bin Abu Hanipah; serta Ketua-ketua Jabatan Negeri Perak.
Inisiatif ini melibatkan seramai 27,563 calon SPM, STPM dan STAM daripada sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak bagi tahun 2025, dengan jumlah keseluruhan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mencecah RM3.96 juta.
Turut diadakan dalam majlis yang sama ialah Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Murid Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2025 sebagai usaha rohani bagi mendoakan kejayaan dan memohon dipermudahkan segala urusan para calon peperiksaan awam.
Memasuki tahun kelima pelaksanaan, inisiatif ini terus menjadi intervensi penting dalam menyokong kesejahteraan para calon dan diharapkan dapat terus memberi impak positif terhadap peningkatan pencapaian peperiksaan awam negeri Perak.