Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Amanjaya Natural Resources Sdn. Bhd. anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak), yang sekali lagi mencatat kejayaan gemilang menerusi Penarafan Bintang Pengauditan Menggunakan Kaedah SDI Tahun 2025 di Negeri Perak.
Pengiktirafan ini merupakan penarafan kemampanan industri perlombongan dan pengkuarian di negeri Perak yang dianugerahkan kepada lombong dan kuari di bawah bidang kuasa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia bagi mengiktiraf amalan terbaik dan kecemerlangan operasi sektor berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JMG Malaysia, Tuan Haji Kamaruddan bin Abdullah; Ketua Pengarah JMG Negeri Perak, Tuan Haji Nizarulikram bin Abdul Rahim; serta Muhammad Fariq bin Jaafar selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Bagi kategori Perlombongan Mineral, penarafan 5 bintang telah dianugerahkan kepada operator lantikan MB Inc. Perak iaitu Tinex Kaolin Corporation Sdn. Bhd., manakala bagi kategori Pengkuarian, Papan Granite Sdn. Bhd. dan Anugerah AlQarie Sdn. Bhd. masing-masing menerima penarafan 3 bintang.
Pada penarafan tahun ini, sebanyak 8 buah lombong dan 16 buah kuari yang beroperasi di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 berjaya menerima pengiktirafan ini berdasarkan penilaian terhadap kriteria-kriteria yang ditetapkan.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh MB Inc. Perak dalam melaksanakan operasi perlombongan dan pengkuarian di kawasan Pajakan Melombong miliknya secara bertanggungjawab, selaras dengan agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.