Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima kunjungan hormat daripada Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG), sebuah institusi kewangan terkemuka Jepun ke Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) bagi meneroka peluang kerjasama strategik dan pelaburan dalam industri mineral kritikal negeri.
MUFG, selaku bank korporat terbesar Jepun yang memainkan peranan penting dalam ekosistem perniagaan Malaysia sebagai bank utama kepada dua pertiga syarikat Jepun yang beroperasi di negara ini, menzahirkan minat mendalam terhadap potensi sektor mineral kritikal di Perak.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden MUFG Bank Malaysia, Mr Motohide Okuda; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato’ Anuar Zainal Abidin; serta barisan pengurusan kanan MUFG dan MB Inc. Perak.
MB Inc. Perak kekal komited memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dan membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti tinggi bersama syarikat asing, selaras dengan visi memperkasakan ekonomi negeri melalui pelaburan bernilai tinggi yang menjana pertumbuhan mampan serta mencipta peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat.
Pertemuan strategik ini dijangka merintis kerjasama lebih erat antara Perak dan Jepun dalam membangunkan rantaian nilai mineral kritikal yang komprehensif, sekaligus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor ini.