DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Larian Keputeraan Sultan Nazrin Shah sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku ke-69.
Turut mengiringi keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Acara yang memasuki edisi ke-11 ini telah mencatatkan penyertaan luar biasa seramai lebih 9,500 peserta dari segenap lapisan masyarakat yang hadir dengan pelbagai gaya pakaian yang kreatif sambil menikmati aktiviti-aktiviti sampingan yang mengetengahkan keunikan warisan budaya negeri.
DYMM Tuanku berkenan merasmikan acara dengan melepaskan peserta bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan iaitu 15KM, 10KM dan 7KM, termasuk kategori tetamu kehormat kalangan orang besar jajahan, exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan sejauh 3KM.
DYMM Tuanku kemudian turut berkenan meluangkan masa bersama rakyat di Laman Budaya bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di samping pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang disediakan sepanjang laluan larian.
Acara larian ini bukan sahaja berjaya mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah telah memperkukuhkan lagi hubungan istimewa antara institusi diraja dengan rakyat jelata negeri Perak.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak