Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim mengadakan pertemuan strategik dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), YBhg. Datuk Dr. Ching Too a/l Kim.
Kunjungan hormat ini menandakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memajukan sektor industri mineral termasuk unsur nadir bumi (REE) secara bertanggungjawab dan mampan bagi menjana manfaat jangka panjang kepada negara.
Pertemuan tertumpu kepada perbincangan holistik mengenai hala tuju dan pembangunan semasa industri mineral di Perak yang merupakan negeri peneraju Malaysia dalam sektor REE.
Kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan tadbir urus telus, pematuhan teguh terhadap piawaian alam sekitar serta perancangan pembangunan industri mineral yang menyeluruh dan bersepadu.
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, YBhg. Datuk PGeol. Zamri Ramli; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato’ Anuar Zainal Abidin.
Pertemuan ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan industri mineral di Perak diuruskan dengan penuh integriti sekaligus menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri dan negara secara menyeluruh.