YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan Konvensyen Integriti dan Antirasuah Perak Sejahtera Tahun 2026 (KIAPS 2026) serta merasmikan Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak.
Program anjuran bersama MB Inc. Perak, SPRM Perak, Unit Integriti Pejabat SUK Perak dan SSI Perak ini merupakan wadah penting bagi memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap lapisan pentadbiran negeri.
Turut hadir ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; Pengarah SPRM Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri ; serta para penjawat awam.
Konvensyen tahun ini turut menjadi platform strategik untuk meningkatkan kesedaran, perkongsian ilmu serta memperkasa kerjasama antara jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam merealisasikan agenda integriti nasional.
Dalam majlis yang sama, MB Inc. Perak selaku rakan strategik SPRM Negeri Perak telah menerima Sijil Penghargaan sebagai pengiktirafan atas komitmen cemerlang dalam mengendalikan program dan pembangunan latihan integriti di negeri Perak sepanjang tahun 2025.
Melalui kedua-dua inisiatif ini, negeri Perak berhasrat memperkasakan pelbagai program susulan yang bakal dilaksanakan bagi memastikan agenda integriti kekal relevan, berkesan dan menjadi teras pembangunan negeri Perak yang berdaya saing dan progresif.