Seusai Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kontinjen Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Perak serta Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak di Temasya Sukan SEA Ke-33, Thailand 2025.
Turut hadir ialah YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima Watikah Pelantikan daripada Kerajaan Negeri Perak bagi menganggotai Kontinjen SUKMA Negeri Perak Tahun 2026 sebagai Agensi Angkat bagi sukan Muay Thai dan Sepak Takraw ke SUKMA XXII Selangor 2026.
Pelantikan ini menandakan keyakinan tinggi Kerajaan Negeri terhadap kapasiti dan komitmen MB Inc. Perak dalam menerajui pembangunan sukan di peringkat negeri, khususnya memikul tanggungjawab menyeluruh memastikan kontinjen Muay Thai dan Sepak Takraw negeri tampil bersedia menjelang SUKMA 2026.
Dengan amanah yang dipikul, MB Inc. Perak berkomitmen memangkin pembangunan holistik negeri Perak bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan sosial, malah turut memperkukuh ekosistem sukan negeri bagi memastikan Perak terus mencatat prestasi gemilang di pentas sukan kebangsaan.