Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak Darul Ridzuan 2026.
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Tuanku ialah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Turut hadir ialah YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Sambutan tahun ini mencatat kehadiran lebih 15,000 masyarakat berbilang kaum di seluruh Perak yang memeriahkan majlis, membuktikan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi teras kekuatan rakyat Perak.
Dalam majlis yang sama, DYMM Tuanku berkenan menyampaikan sumbangan ‘ang pau’ kepada anak-anak yatim serta kanak-kanak yang hadir sebagai lambang kasih sayang DYMM Tuanku terhadap kebajikan generasi muda Perak.
Menyambut Tahun Kuda yang melambangkan kekuatan, keazaman dan daya juang, majlis ini membawa harapan agar kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian terus menyelubungi semua lapisan masyarakat Perak dalam suasana aman dan sejahtera yang berkekalan.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak