DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H/2026 di Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Tuanku, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd. Annuar bin Zaini; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku turut berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri MAIPk berjumlah RM12.6 juta kepada para penghulu mukim dari 12 daerah yang mewakili seramai 42,006 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri Perak.
Seusai penyerahan bantuan tersebut, DYMM Tuanku berkenan berbuka puasa bersama-sama lebih 2,000 jemputan sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak serta Tarawih secara berjemaah bersama para jemputan dan pelajar yang hadir.
Semoga majlis ini bukan sahaja menyuburkan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan seluruh umat Islam, malah menjadi sumber inspirasi untuk terus mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya demi kesejahteraan semua.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak