Menteri Besar Incorporated (Perak) meneruskan komitmen kukuh terhadap agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni para pelatih dan petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seri Toh Johan, Trong melalui majlis penyerahan sumbangan sempena Aidilfitri.
Selaras dengan semangat bulan yang penuh kemuliaan ini, inisiatif murni ini dilaksanakan sebagai manifestasi keprihatinan dan sokongan penuh MB Inc. Perak terhadap komuniti Istimewa di negeri ini, sekaligus meringankan bebanan kos keperluan mereka menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Hadir sama dalam sesi penyampaian sumbangan tersebut ialah Penyelia PPDK Seri Toh Johan, Puan Noor Shahidah Zainal Shah dan Puan Nazihah Azizul, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Untuk makluman, PPDK Seri Toh Johan menempatkan seramai 22 orang pelatih daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) merangkumi pelbagai kategori termasuk mereka yang berhadapan dengan cabaran pembelajaran, pertuturan, fizikal, mental serta pelbagai cabaran lain.
MB Inc. Perak yakin bahawa melalui inisiatif yang disalurkan ini, setiap pelatih OKU berkenaan dapat meraikan sambutan Aidilfitri dengan penuh keriangan dan kesyukuran, seterusnya memperkukuh serta menyuburkan jaringan sosial masyarakat negeri Perak amnya.