Menteri Besar Incorporated (Perak), selaku peneraju industri mineral Negeri Perak telah mengadakan satu mesyuarat kerjasama bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut merupakan langkah proaktif yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam meneroka peluang kerjasama strategik bagi memperkasakan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam sektor industri mineral.
Turut hadir, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Encik Mohd Azhar Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato’ Anuar Zainal Abidin; serta barisan pengurusan kanan daripada Perak SADC dan MB Inc. Perak.
Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan usaha merangka hala tuju bersama bagi memastikan sumber mineral negeri dapat dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi Negeri Perak.
Justeru, permuafakatan strategik ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri mineral Negeri Perak yang lebih dinamik dan berdaya maju, seterusnya merealisasikan visi Perak Sejahtera 2030 demi kelangsungan pembangunan negeri.