DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Sambutan pada tahun ini jelas mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Negeri Perak apabila lebih 20,000 orang memeriahkan majlis tersebut sambil menikmati pelbagai juadah raya yang disediakan.
Pada majlis yang sama, Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 69 orang kanak-kanak daripada Rumah Anak Yatim Soleha, Tanjung Tualang; The Salvation Army Ipoh Children’s Home; Boy’s Home Care Centre serta Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar.
Menteri Besar Incorporated (Perak) turut mengambil bahagian dalam kemeriahan majlis tersebut dengan membuka gerai laksa bersama-sama barisan agensi Kerajaan Negeri yang lain bagi menghidangkan pelbagai juadah raya kepada seluruh masyarakat yang hadir.