Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima kunjungan hormat delegasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam satu pertemuan bagi memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut tertumpu kepada penelitian menyeluruh terhadap peluang-peluang kerjasama yang berpotensi bagi memperteguh pemerkasaan ekonomi serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di negeri Perak.
Delegasi FELDA diketuai oleh Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak bersama barisan pengurusan kanan FELDA dan MB Inc. Perak.
Dalam sesi perbincangan konstruktif itu, MB Inc. Perak turut berkongsi perkembangan semasa serta hala tuju strategik industri mineral negeri, sekaligus mengetengahkan kerjasama dalam pembangunan aset FELDA di Perak.
Pertemuan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerangka kerjasama yang lebih komprehensif, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkasa ekonomi tempatan serta meletakkan Perak sebagai hab industri mineral yang berdaya saing di Malaysia.