Menteri Besar Incorporated (Perak) sekali lagi membuktikan komitmen berterusannya dalam menyokong pelaksanaan ibadah korban melalui sumbangan sebanyak 50 ekor lembu kepada Kerajaan Negeri Perak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Majlis Akad Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Tahun 2026 yang berlangsung di Foyer Pejabat YAB Menteri Besar Perak pada hari ini telah menyaksikan penyerahan simbolik sejumlah 464 ekor lembu korban daripada lima Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi MB Inc. Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menerima penyerahan mock cheque sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato’ Anuar Zainal Abidin.
Inisiatif tahunan ini bukan sahaja mencerminkan tahap tanggungjawab sosial korporat yang tinggi dalam kalangan GLC negeri, bahkan turut menjadi wahana perkukuhan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam memupuk keharmonian masyarakat majmuk Negeri Perak.
Majlis ini sekaligus melambangkan semangat pengorbanan dan perkongsian yang menjadi intipati sambutan Aidiladha dan diharapkan nilai murni tersebut akan terus subur serta menjadi amalan yang diwarisi oleh seluruh lapisan masyarakat, insya-Allah.