DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Hospital Seri Iskandar Perak Darul Ridzuan.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Semasa majlis, DYMM Tuanku telah berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, diikuti dengan menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran, sebelum berkenan melawat ruang pameran sambil menerima taklimat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Dr. Feisul Idzwan bin Dato’ Mustapha.
Hospital Seri Iskandar yang dibina dengan kos RM162.3 juta ini dibangunkan bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang yang telah lama berkhidmat sejak tahun 1971 dan ia berjaya disiapkan tanpa sebarang kelewatan.
Hospital ini menjadi nadi baharu kepada lebih 94,000 penduduk merangkumi 12 mukim di daerah Perak Tengah, yang kini memiliki akses kepada kemudahan bertaraf dunia bagi mendapatkan rawatan pakar.
Hospital ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk Dewan Bersalin, Unit Hemodialisis dan Unit Kebergantungan Tinggi (HDU), sekaligus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak