YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah mengetuai delegasi negeri dalam satu lawatan kerja rasmi ke Shuifa Energy Group Co. Ltd. bagi mengukuhkan kemasukan pelaburan ke Negeri Perak, baru-baru ini.
Misi pelaburan ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda tenaga hijau, seiring dengan usaha membuka ruang kepada pelaburan berimpak tinggi, pemindahan teknologi serta manfaat ekonomi yang menyeluruh kepada rakyat.
Misi pelaburan pada kali ini dimulakan dengan pertemuan bersama Shuifa Energy Group Co. Ltd. yang menyatakan hasrat untuk melabur antara RM180 juta hingga RM200 juta bagi pelaksanaan projek tenaga baharu berkonsepkan Floating Aqua-Voltaic di Negeri Perak.
Menteri Besar Incorporated (Perak) turut serta secara proaktif dalam perbincangan antara delegasi Negeri Perak dan syarikat berkenaan bagi menyokong sepenuhnya agenda pembangunan negeri dalam menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Melalui lawatan kerja rasmi ini, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Perak sebagai pemangkin kepada pemindahan teknologi untuk entiti tempatan, sekaligus memperkukuh kerjasama strategik dalam industri tenaga hijau yang memiliki nilai dan potensi yang amat tinggi.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak