YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad bersama delegasi negeri terus mengukuhkan komitmen pelaburan bernilai RM263 juta yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Tanjung Malim khususnya dan Negeri Perak amnya.
Dalam kerangka lawatan kerja rasmi ke negara China, delegasi negeri telah mengadakan kunjungan ke Ningbo Fresh Technology Co. Ltd., sebuah syarikat yang berpotensi membuka lembaran baharu dalam landskap industri automotif negeri.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Utara, Encik Loh Sze Yee; Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari Hanipah; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri berkaitan.
Syarikat tersebut sebelum ini telah berjaya membangunkan sebuah kilang pembuatan komponen automotif yang kini beroperasi di Tanjung Malim dan kini berhasrat mengembangkan operasinya di Tanjung Malim Hi-Tech Park bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan sekaligus memperkukuh kedudukan dalam pasaran eksport.
Adalah diharapkan agar penambahan nilai pelaburan ini berupaya mengangkat Perak sebagai destinasi pelaburan strategik yang terulung, merentasi sektor automotif, teknologi tinggi serta industri masa hadapan yang kian berkembang pesat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak