Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd (3P), telah mengambil bahagian dalam Sesi Libat Urus Berkaitan Isu-Isu Dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard, AGD), hari ini.
Sesi tersebut merupakan platform perbincangan yang terarah kepada pembentangan status tindakan susulan, pemantauan tadbir urus serta komitmen organisasi terhadap penambahbaikan yang berterusan.
Hadir sama ialah Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
3P telah terlibat secara langsung dengan membentangkan perkara-perkara berkaitan serta mengambil tindakan susulan laporan Ketua Audit Negara, sekaligus membuktikan bahawa amalan tadbir urus, pematuhan dan pelaporan 3P selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri.
MB Inc. Perak merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Kerajaan Negeri, Jabatan Audit Negara dan Bahagian Audit dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atas segala panduan, kerjasama dan sesi libat urus bersama yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pengauditan ini.
Kredit Foto : Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak