Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG) telah menerima lawatan kerja teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia ke Stesen Pemantauan Air Tanah M13 di Tapak Repositori, Mukim Belanja.
Selaras dengan mandat yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri dalam pengendalian Tapak Repositori, AG telah menjalankan secara menyeluruh kerja-kerja persampelan dan pemantauan kualiti air tanah di tapak berkenaan sejak tahun 2018, sekaligus memudahkan urusan pemantauan bersama pihak JAS Malaysia.
Hadir sama ialah Pegawai Kawalan Kanan Seksyen Pengawasan Kualiti Air Tanah, Bahagian Air dan Marin JAS Malaysia, Puan Zaimastura Ibrahim, serta Ts. Haji Zul Helmi Ghazali selaku wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak.
Lawatan teknikal tersebut merupakan pengiktirafan nyata terhadap standard kerja yang dilaksanakan oleh AG, merangkumi aktiviti pemulihan dan pasca-perlombongan di Stesen Pemantauan Air Tanah M13 yang berada di bawah pengawasan dan seliaan MB Inc. Perak.
JAS Malaysia turut menzahirkan hasrat untuk mengambil alih semula kerja-kerja persampelan air tanah di tapak berkenaan, suatu pengiktirafan yang membuktikan bahawa standard pemantauan yang dilaksanakan selama ini telah melepasi keperluan dan piawaian yang ditetapkan.
Pencapaian ini menjadi bukti kukuh komitmen MB Inc. Perak dalam memelihara kelestarian alam sekitar dan menjamin kesejahteraan masyarakat setempat, selaras dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri.